Tersekat di luar pejabat ketika hujan turun dengan lebatnya adalah satu situasi yang amat merunsingkan bagi sesetengah individu.

Lebih-lebih lagi apabila kita tidak mengamalkan peribahasa Melayu lama "Sediakan payung sebelum hujan".

Namun nasib berbeza ditakdirkan untuk seorang lelaki, Naqib Nadhir Shamsuri pada petang tadi sewaktu hujan lebat melanda Kuala Lumpur.

Hampir sahaja dia berputus asa dengan nasib malangnya itu kerana resah dan tidak mampu meredah hujan untuk kembali ke pejabatnya.

Sebuah kereta yang menghalang laluan jalannya hampir menghilangkan perasaan sabar.

Namun, pemandu kereta tersebut seorang wanita lebih dewasa menurunkan cermin keretanya tanpa menghiraukan tempias yang bakal masuk ke ruang dalam keretanya.

Wanita itu menghulurkan kepadanya sekaki payung menerusi cermin kereta dan kemudiannya berlalu pergi tanpa sempat dia mengucapkan terima kasih.

"Wanita itu tidak mengharapkan sebarang penghargaan ataupun pujian bagi memuaskan egonya. Dia hanya mahu menghulurkan sedikit bantuan," tulis Naqib yang hanya sempat mengingati nombor plat kereta wanita itu.

Bagi meraikan keluhuran budi pekerti wanita itu, Naqib yang mengakui kesukaran untuk mencari semula wanita tersebut telah mengajak rakyat Malaysia lain untuk sama-sama melakukan seperti apa yang telah dilakukan oleh wanita tersebut.

"Saya berjanji akan menyimpan payung ini di dalam kereta dan akan diberikan kepada individu lain yang berdepan dengan situasi sama yang saya lalui hari ini sebagai tanda terima kasih saya kepada wanita tersebut." tambah Naqib.

Selain hashtag #MalaysiaBoleh dan #‎JanganCakapAbangTakPayung‬, Naqib turut menyertakan hashtag #PayungItForward yang turut berkait dengan sebuah filem Hollywood tahun 2000, Pay It Forward.

Filem Pay It Forward mengisahkan seorang guru kajian sosial yang memberikan tugasan kepada pelajarnya untuk memikirkan sesuatu idea jujur yang dapat mengubah dunia agar menjadi lebih baik beserta tindakan yang perlu dilakukan sehingga berkembang menjadi satu fenomena negara.

Itu cerita Naqib, apa pula peranan kita untuk meneruskan budi pekerti tinggi yang telah dilakukan oleh wanita pemilik kereta bernombor plat WVR5503 itu.