Pengerusi CIMB Group, Datuk Seri Nazir Razak, yang berada di luar negara, turut terlibat secara aktif dalam mesyuarat pertama Jawatankuasa Khas Ekonomi (JKE) menerusi persidangan video, hari ini.

Seramai lapan ahli jawatankuasa lain turut hadir pada mesyuarat yang dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Abdul Wahid Omar, di Kompleks JPM, di sini.

Menurut Abdul Wahid, Nazir yang juga adik bongsu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, menyertai mesyuarat tiga jam itu menerusi persidangan video bermula jam 8.30 pagi.

Ahli-ahli jawatankuasa yang hadir adalah Timbalan Pengerusi Khazanah Nasional Bhd Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Pengarah Urusan Khazanah Nasional Tan Sri Azman Mokhtar; Ketua Penasihat Suruhanjaya Kawalan Perbankan China Tan Sri Andrew Sheng Len Tao dan Pengerusi Eksekutif Symphony Life Bhd Tan Sri Mohamed Azman Yahya.

Anggota lain adalah Ketua Pegawai Eksekutif RAM Holdings Bhd Datuk Seri Dr K.Govindan; Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali; Pengerusi Persatuan Bank-Bank Malaysia Datuk Abdul Farid Alias dan Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia, Datuk Seri Saw Choo Boon.

Turut hadir, wakil-wakil Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, JPM dan Unit Perancang Ekonomi.

Rabu lepas, Najib yang juga Menteri Kewangan, mengumumkan struktur dan fungsi penubuhan JKE yang akan menimbang perancangan serta-merta dan jangka sederhana bagi mengukuhkan lagi asas-asas ekonomi Malaysia.

Menurut Najib, JKE akan melaporkan terus kepada beliau yang akan mempertimbangkan penelitian isu-isu semasa seperti aspek nilai ringgit, mengekalkan kestabilan pasaran kewangan serta mengukuhkan keyakinan dalam pasaran modal.

Mengulas catatan Nazir di akaun Instagram miliknya yang membayangkan keengganannya menyertai JKE, Abdul Wahid berkata : "Dari perspektif saya...itu bukanlah kesnya daripada awal lagi kami berhubung dengannya.

"Beliau sememangnya amat menyokong untuk menjadi sebahagian pasukan ini. Malah, apabila kami membuat pilihan, kami mahukan anggota yang kami yakini dapat menyumbang idea serta kepada keseluruhan proses dalam JKE itu.

"Malah, apa yang saya boleh katakan, semua anggota, termasuk Nazir, turut sama-sama terbabit secara aktif."

Pada minggu lalu, di laman akaun Instagram miliknya, Nazir mengulas mengenai penubuhan JKE yang mempunyai 10 anggota itu.

"(Saya) jangkakan satu jawatankuasa baharu tetapi bukanlah dengan saya sebagai anggotanya! Apa pun, saya akan bercakap benar dan berharap ia akan membantu kerajaan untuk mengemudi ekonomi menempuhi tempoh sukar ini selain mengurangkan kesannya."