KUALA LUMPUR: Saham-saham Kuala Lumpur meningkat pada sesi awal dagangan Jumaat, sekali gus meneruskan aliran kenaikan dengan indeks petunjuk utama menokok 0.03 peratus didorong oleh momentum positif ketika Rizab Persekutuan Amerika Syarikat meredakan dasar kadar faedahnya yang melegakan kalangan komuniti perniagaan.

Pada 9.05 pagi ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 0.48 mata kepada 1,456.74 berbanding 1,456.26 pada akhir dagangan semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka susut 0.31 mata kepada 1,455.95.

Di pasaran secara meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 164 berbanding 96 manakala 261 kaunter lain tidak berubah; 1,817 tidak diniagakan dan 45 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 148.28 juta unit bernilai RM60.15 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Rakuten Trade Thong Pak Leng berkata FBM KLCI kembali melantun dan melonjak melepasi paras 1,450, didorong oleh pembelian secara ketara, semalam.

"Kami yakin aktiviti belian akan terus berlanjutan dan menjangkakan indeks akan bergerak dalam julat 1,455 hingga 1,465 hari ini. Perkembangan itu berikutan tindakan mengambil kesempatan daripada penilaian pasaran tempatan yang lebih menarik.

"Selain itu, harga minyak mentah turut meningkat apabila penanda aras global, Brent ditutup melebihi US$76 setong ketika permintaan dijangka pulih susulan peningkatan ekonomi Amerika Syarikat," katanya kepada Bernama.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank tidak berubah pada RM9.05, Public Bank menokok dua sen kepada RM4.32, CIMB naik satu sen kepada RM5.82, Petronas Chemicals meraih dua sen kepada RM7.17 manakala TNB susut satu sen kepada RM9.96.

Bagi saham aktif pula, kaunter Bina Puri, Saudee dan Handal tidak berubah masing-masing pada 9.5 sen, tiga sen dan 12 sen manakala Pan Malaysia dan CN Asia naik setengah sen pada 7.5 sen dan 17 sen.

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas naik 7.65 mata kepada 10,795.32; Indeks FBMT 100 meningkat 5.94 mata kepada 10,460.91; Indeks FBM ACE menambah 16.25 mata kepada 5,155.57 manakala Indeks FBM 70 menokok 19.09 mata kepada 14,415.72.

Bagaimanapun, Indeks Emas Syariah berkurangan 5.68 mata kepada 10,899.16.

Prestasi sektor menyaksikan Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 28.58 mata kepada 16,458.63, Indeks Perladangan sebaliknya susut 4.15 mata kepada 6,996.67; Indeks Tenaga naik 5.86 mata kepada 810.09 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.24 mata kepada 171.97.

-- BERNAMA