Keseronokan nelayan yang menikmati waktu rehat dengan tidur di atas buaian di sebuah bot menangkap ikan bilis bertukar tragedi apabila dia terjatuh ke Sungai Nilam dekat Air Hangat Langkawi di sini pagi ini.

Lebih menyedihkan apabila mangsa Lukman Samoree, 24 yang merupakan warga Thailand itu dikatakan gagal berenang kerana menghidap penyakit sawan.

Kejadian disedari rakan mangsa kira-kira jam 1 pagi selepas terdengar bunyi benda terjatuh ke dalam air.

Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Langkawi, Pegawai Bomba Kanan II Faizal Che Mi, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.33 pagi dan tiba di lokasi enam minit kemudian bersama lapan anggota.

Sebaik sahaja tiba tindakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan oleh anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dengan menggunakan bot penyelamat di sekitar kawasan sungai.

Bagaimanapun mayat mangsa berjaya ditemui di dasar sungai tidak jauh dari tempat mangsa terjatuh kira-kira jam 12.18 tengah hari tadi.

Mayat mangsa kemudiannya di serahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum dihantar ke Hospital Langkawi bagi tujuan bedah siasat.