Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) tidak akan mengganggu siasatan yang dibuat pasukan petugas khas berkaitan dakwaan yang dikeluarkan oleh Wall Street Journal (WSJ).

Pengerusinya Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, siasatan kes tersebut kini di bawah pasukan petugas khas yang terdiri daripada Peguam Negara, Ketua Audit Negara, Polis, dan juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Kami tidak mahu ganggu siasatan mereka memandangkan mereka punya akses yang lebih untuk lakukan siasatan mengikut bidang tugas masing-masing.

"Biarkan mereka lengkapkan siasatan terbabit dan PAC akan panggil untuk memberi penjelasan berkaitan isu ini," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Tambah beliau, komitmen yang ditunjukkan agensi terbabit membuktikan kemahuan rakyat agar siasatan mendalam dan terperinci dilakukan ke atas 1MDB mendapat perhatian badan bebas kerajaan seperti PAC.

Nur Jazlan mengulas ketika ditanya media berkaitan siasatan ke atas dakwaan yang dikeluarkan oleh WSJ.