Seorang paderi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak hari ini atas dua tuduhan melakukan kesalahan seksual terhadap anak angkat perempuannya yang merupakan warganegara China.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki berusia 49 tahun itu didakwa melakukan seks luar tabii terhadap mangsa yang ketika kejadian berusia 11 tahun di sebuah rumah di Petaling Utama, Petaling Jaya, dekat sini, pada November 2011.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377A Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 377C kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimun 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, bapa kepada dua orang anak itu didakwa melakukan serangan seksual terhadap mangsa, yang kini berusia 17 tahun, di tempat yang sama pada 7 Okt lalu.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Lelaki tersebut, yang memakai kemeja-T berwarna krim dan berseluar hitam, terpaksa ditahan sementara menunggu perbicaraan selepas Hakim Yong Zarida Sazali menafikan tertuduh diikat jamin atas permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Nordalina Ali.

Yong Zarida kemudian menetapkan 4 Disember ini untuk sebutan semula kes.

Nordalina sebelum itu memohon mahkamah menafikan tertuduh diikat jamin kerana dikhuatiri boleh mengganggu mangsa yang merupakan anak angkat yang tinggal bersamanya.

Peguam, S,. Sivaperumal, yang mewakili tertuduh, berkata adalah mudarat jika jaminan tidak diberikan kerana anak guamnnya dianggap tidak bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah.

Minggu lepas, sebuah akhbar melaporkan paderi berkenaan menjadikan mangsa yang merupakan anak seorang ahli perniagaan wanita dari China sebagai anak angkat 8 tahun lalu.

Menurut laporan itu, empat bulan selepas membawa mangsa pulang ke rumahnya, suspek mula menunjukkan belang dan didakwa mencabul mangsa hampir setiap hari, termasuk ketika beliau tidur.

Bagi mengelakkan perbuatannya terbongkar, paderi itu dikatakan mengugut mangsa dan tidak membenarkan gadis terbabit menemui ibunya secara bersendirian selama lapan tahun.

-- BERNAMA