Kerajaan Persekutuan secara rasmi telah mengeluarkan surat penamatan kepada Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd (LBU), rakan pelaksana projek (PDP) projek Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak, kata Menteri Kerja Raya Baru Bian.

Beliau berkata surat itu dikeluarkan Jumaat lepas.

Beliau berkata walaupun surat penamatan dikeluarkan, semua 11 kontrak pakej kerja (WPCs) untuk lebuh raya sepanjang 786.41 kilometer di sebelah Sarawak akan diteruskan oleh kontraktor sebelum ini yang dilantik.

"Biar saya tekankan, semua kontraktor utama untuk WPC akan diganti. Tidak ada masalah dan berita tentang penamatan kontraktor adalah tidak betul.

"Sebaik sahaja LBU ditamatkan, semua WPC perlu diganti," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan iaitu Jawatankuasa Tindakan Bersama Kerajaan Sarawak dan kerajaan Persekutuan, di sini hari ini.

Dilancarkan pada Mac 2015, projek multibillion-ringgit disifatkan sebagai projek pembangunan infrastruktur terbesar yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan di Sarawak dalam tempoh 54 tahun. Lebuh raya bebas tol itu akan menjadi laluan utama menghubungkan Sabah dan Sarawak.

Mengenai kemajuan pembinaan hospital baharu di negeri ini, Baru berkata projek di Lawas, Miri dan Petrajaya sedang dalam proses tender.

Sebuah lagi hospital baharu di Sri Aman, yang pembinaan sedang berjalan, dijangka siap pada Januari tahun depan.

-- BERNAMA