Syarikat konsesi Lebuhraya Pantai Timur (LPT), ANIH Berhad telah mengeluarkan satu panduan waktu perjalanan (TTA) sebagai langkah persiapan bagi menangani pelbagai kemungkinan menjelang Hari Raya.

TTA atau travel time advisory itu bertujuan menggalakkan pengguna merancang perjalanan mereka bagi mengelak kesesakan jalan raya sempena musim balik kampung ini.

Mengikut TTA tersebut, pemandu dinasihati mengguna lebuh raya dari jam 12 tengah malam sehingga 6 pagi untuk ke mana-mana destinasi.

Pemandu juga diminta elak masuk ke Plaza Tol Gombak pada 9.30 pagi hingga 12 tengah hari dan 9.30 malam hingga 12 tengah malam sebelum 17 Julai kerana ini masa perjalanan bas ekspres menuju ke Pantai Timur.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif ANIH Berhad, Datuk Dr Azmil Khalid berkata keadaan trafik di LPT pada musim perayaan biasanya berada di luar kapasiti.

"ANIH Berhad menjangkakan peningkatan trafik sebanyak 70 peratus pada saat akhir sempena musim balik kampung," kata beliau.

Trafik dijangkakan meningkat sebanyak 51 peratus di lebuh raya sekitar Kuala Lumpur dan 72 peratus di Lebuhraya Pantai Timur 1.

Selain TTA yang boleh digunakan untuk merancang perjalanan dari Gombak hingga ke Jabor, Terengganu, ANIH Berhad juga telah menyediakan kemudahan sokongan seperti kawasan rehat (R&R), hentian sebelah dan stesen minyak.

Pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) juga ditugaskan mengawal trafik dan keadaan di sekitar R&R.

"Bagi mereka yang tidak dapat mengikuti panduan kami, anda dinasihatkan supaya servis kereta, isi minyak cukup-cukup dan sedia bekalan makanan kerana jika mana-mana kawasan rehat dipenuhi orang musim perayaan ini, kami akan tutup kawasan itu.

"Kami tidak akan membenarkan kereta masuk kerana ia hanya akan memburukkan lagi keadaan," kata Azmil.

Tenaga kerja seramai 1,500 akan dikerah bagi memastikan operasi di jalan raya berjalan lancar, tambahnya.

Sementara itu, ANIH Berhad juga akan memberikan diskaun tol sebanyak 10 peratus kepada pengguna kad Touch 'n Go dan SmartTag di sepanjang LPT pada 17 Julai untuk semua jenis kenderaan.