Malaysia dan Indonesia pada Khamis bersetuju supaya agensi pengambilan pekerja asing dari kedua-dua negara dilibatkan dalam kerjasama formal urusan penghantaran pembantu rumah Indonesia ke Malaysia dan sekaligus memenuhi permintaan oleh sejumlah majikan Malaysia.

Perkara itu diusulkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam perbincangannya dengan Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono di pertemuan Rundingan Tahunan di sini.

Najib berkata penglibatan pihak swasta yang mewakili Malaysia dan Indonesia dalam bentuk persefahaman bersama dalam urusan itu merupakan perluasan kepada MoU mengenai pelaksanaan pengambilan dan perlindungan terhadap pembantu rumah Indonesia, yang dipersetujui oleh kedua-dua negara di Bali, pada tahun 2011.

MoU di Bali itu menyaksikan Indonesia bersetuju menarik balik moratorium penghantaran pembantu rumah ke Malaysia.

"Bapak Presiden pun setuju supaya MoU ditandatangani antara Persatuan Agensi Pekerja Asing (Papa) di Malaysia dengan Persatuan Agensi Pembekal Tenaga Kerja Indonesia (Apjati).

"Kalau kedua-dua pihak boleh menandatangani MoU, saya yakin bahawa bilangan pembantu rumah Indonesia ke Malaysia dapat mencapai bilangan yang kita harapkan," katanya pada sidang akhbar bersama di akhir acara pertemuan Rundingan Tahunan Malaysia-Indonesia di Istana Merdeka, Kompleks Istana Presiden Indonesia di sini.

Sungguhpun ada banyak permintaan daripada majikan Malaysia terhadap pembantu rumah Indonesia, penghantaran mereka oleh agensi pekerja asing Indonesia melalui kerjasama dengan agensi pekerja asing Malaysia sehingga kini masih tidak menggalakkan.

Antara faktor yang dipercayai menyebabkan keadaan ini ialah biaya pengambilan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa Indonesia dan Malaysia sebanyak RM4,511, dikatakan tidak menguntungkan agensi pekerja asing.

Soal gaji rendah yang ditawarkan oleh majikan Malaysia berbanding negara lain seperti Hong Kong dan negara-negara Timur Tengah juga dipercayai antara faktor yang menyebabkan pembantu rumah Indonesia kurang tertarik untuk bekerja di Malaysia.

Dalam kenyataannya hari ini, perdana menteri berkata setakat ini hanya 513 pembantu rumah dihantar menggunakan saluran yang persetujui dalam MoU sekarang.

Apa yang jelas daripada perkembangan sekarang ialah bilangan pembantu rumah Indonesia yang dibawa masuk oleh angensi pekerja asing itu terlalu rendah berbanding permintaan oleh majikan Malaysia, yang dianggar memerlukan kira-kira 30,000 pembantu rumah setahun.

Difahamkan pada masa ini ada kira-kira 127,000 pembantu rumah Indonesia sudah berdaftar di Malaysia.

Menteri Sumber Manusia Richard Riot yang ditemui selepas acara itu berkata pada masa ini Jawatankuasa Kerja Bersama (JWG) Malaysia-Indonesia mengenai pengambilan dan perlindungan pembantu rumah dan majikan pada September lalu bersetuju menetapkan kos baharu pengambilan pembantu rumah Indonesia pada RM7,800.

Kos itu terdiri daripada RM6,000 yang ditanggung oleh majikan dan RM1,800 ditanggung oleh pekerja.
Setakat ini belum ada MoU mengenai penetapan kos pengambilan pada RM7,800 itu.

Katanya isu pembantu rumah Indonesia lebih baik diuruskan oleh agensi pengambilan pekerja asing di peringkat perniagaan dengan perniagaan (B to B) kerana urusan di peringkat kerajaan dengan kerajaan tidak menampakkan banyak kemajuan.