Seorang ahli kelab paramotor berusia 30 tahun maut selepas jentera yang diterbangkan tiba-tiba jatuh ke dalam Sungai Muda dekat Kota Kuala Muda pagi tadi.

Kejadian berlaku pada pukul 8 pagi ketika mangsa, Muhammad Khairun Naim Abdullah, dari Kampung Padang Tembusu, Penaga di Pulau Pinang, baru lima minit menerbangkan paramotornya dari Dataran Datuk Ali Yahya, Kota Kuala Muda.

Bagaimanapun, ketika berada pada ketinggian 500 kaki, enjin paramotornya itu tiba-tiba mati dan gagal dikawal lalu jatuh ke dalam sungai.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Adzli Abu Shah, ketika kejadian, beberapa nelayan ternampak insiden berlaku dan bergegas untuk menyelamatkan mangsa.

"Orang kampung telah ambil tindakan awal untuk membantu, namun mangsa hanyut bersama paramotornya lebih kurang satu kilometer dari sini dan kita dapati (mangsa) telah tidak bernyawa," katanya.

Mayat mangsa berjaya dibawa keluar dengan bantuan pasukan Bomba dan Penyelamat kira-kira satu jam selepas kejadian.

Siasatan awal mendapati enjin paramotor itu mengalami masalah.

Muhammad Khairun Naim mempunyai kelulusan dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan berpengalaman lebih empat tahun dalam menerbang serta mengendali paramotor.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk bedah siasat.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.