Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan untuk menyiasat Datuk A. Kadir Jasin berhubung artikel tulisannya yang mendedahkan perbelanjaan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, tokoh wartawan veteran itu akan disiasat di bawah Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

"Setakat ini ada tiga laporan polis dibuat di Selangor, Kelantan dan Lembah Klang.

"Kita akan jalankan siasatan dan ia akan dikendalikan polis Bukit Aman," katanya selepas melancarkan Op Selamat 13/2018 sempena Hari Raya Aidilfitri di Menara TM hari ini.

A. Kadir sebelum ini mendedahkan bahawa kerajaan membelanjakan RM257 juta untuk perbelanjaan Sultan Muhammad V selama 16 bulan.