Pegawai penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), yang dipaparkan di dalam sebuah video viral bergaduh dengan seorang peniaga tanpa lesen, hanya berbuat demikian untuk mempertahankan dirinya.

Menurut Pengurus Perancangan Korporat DBKL, Dr Ismail Stapa, pihak DBKL sering mendapat tentangan semasa mengambil tindakan penguatkuasaan, tetapi pegawai dan anggota penguatkuasa diarah untuk mematuhi prosedur penguatkuasaan (SOP) yang telah ditetapkan.

“Antara SOP yang perlu dipatuhi oleh anggota Penguatkuasa DBKL ialah mereka tidak boleh menyentuh tubuh badan orang yang diambil tindakan, kecuali mempertahankan diri.

“Satu lagi SOP ialah sekiranya tindakan itu melibatkan wanita, hanya pegawai wanita dibenar melaksanakannya.

“Pegawai penguatkuasa yang terlibat di dalam insiden pergaduhan ini hanya mempertahankan dirinya.

Menurutnya, laporan polis juga telah dibuat berhubung kejadian tersebut.

“Kami telah membuat laporan polis mengenai kejadian itu kerana menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugasnya,” kata Dr Ismail kepada Astro AWANI.

Dr Ismail menambah bahawa penjaja tersebut tidak mempunyai lessen bergerak yang merupakan syarat untuk berniaga di kawasan taman riadah.

“Taman Tasik Permaisuri merupakan salah satu taman rekreasi yang menjadi tumpuan warga kota beriadah dan bersiar-siar terutamanya pada hari Sabtu, Ahad dan cuti am. Terdapat sejumlah enam penjaja berlesen beroperasi di lokasi berkenaan.

“Atas permintaan daripada pengunjung yang ramai di taman tersebut, penjaja tanpa lesen mula bertapak sehingga mencecah kepada 19 orang.

“DBKL sering menerima aduan daripada pengunjung taman ini dan daripada penjaja berlesen sedia ada berkaitan penjaja-penjaja tanpa lesen yang telah menyebabkan halangan di laluan pejalan kaki, kekotoran, gangguan ketenteraman serta menggunakan kemudahan tempat letak kereta untuk beroperasi.

“DBKL telah kerap kali mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas penjaja tanpa lesen ini. Sepanjang Januari hingga Ogos 2014 sahaja, sebanyak 38 notis untuk menjaja tanpa lesen telah dikeluarkan dan telah menyita 36 penjaja tidak berlesen,” katanya.

Video pergaduhan di Taman Tasik Permaisuri itu menjadi viral baru-baru ini dan menjadi topik perbualan di laman media sosial.

Video itu pada mulanya memaparkan beberapa pegawai penguatkuasa DBKL mendekati gerai penjaja yang menjual minuman itu, dan menyatakan hasrat untuk menyita gerai tersebut.

Seorang pegawai penguatkuasa dilihat cuba memegang tangan peniaga tersebut namun ditepis beberapa kali.

Peniaga tersebut mulai berang dan meninggikan suara apabila rayuannya tidak diendahkan pegawai penguatkuasa terbabit.

“Saya pun cakap elok-elok. Jangan angkat. Sue (saman)lah. Bukan saja jual dadah. Saya meniaga.

“Ini barang niaga lah. Kau nak buat apa benda-benda ni semua.”

Pergelutan kemudiannya berlaku apabila peniaga itu bertindak menolak pegawai berkenaan yang cuba menghalangnya daripada meneruskan perniagaannya.

Beberapa pegawai DBKL dan peniaga lain cuba meleraikan kedua-dua wanita itu, namun, pergelutan berterusan sehingga kedua-dua tudung wanita yang bergelut itu terlucut.