KUALA LUMPUR: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan di ibu negara disaran menyalurkan sumbangan atau makanan sempena Ramadan di tiga lokasi yang ditetapkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata lokasi tersebut ialah Anjung Kembara Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur, Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku dan Pusat Pembelajaran Komuniti Chow Kit.

"Ketiga-tiga lokasi khas ini diwujudkan sebagai inisiatif kawalan kepada kualiti makanan dan dalam masa sama menjaga kebersihan di sekitar Kuala Lumpur," katanya kepada pemberita selepas menyertai Operasi Bersepadu Menyelamatkan Gelandangan di sekitar ibu negara, awal pagi ini.

Dr Zaliha berkata sehingga kini, terdapat 10 NGO yang menjadi rakan kolaborasi DBKL bagi pengagihan makanan di Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku dan Pusat Pembelajaran Komuniti Chow Kit manakala 16 lagi NGO merupakan rakan kolaborasi Yayasan Kebajikan Negara (YKN) di Anjung Kembara.

"Kita tidak boleh melarang NGO yang ingin beri bantuan, cuma kita minta kerjasama daripada mereka dan sekiranya ingin menyumbang, boleh berurusan dengan Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar DBKL," katanya.

Mengenai operasi bersepadu yang bermula pada 1 pagi tadi, Dr Zaliha berkata setakat 2.30 pagi seramai 150 gelandangan dibawa ke Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku di sini untuk proses mendapatkan data demografi selain mengenal pasti punca dan penyelesaian terbaik bagi usaha membantu mereka.

"Dijangka angka itu akan meningkat pada akhir operasi (7 pagi), ini kerana menerusi cerapan pada 14 Feb lepas, kita mendapati seramai 414 gelandangan berada di lima lokasi hotspot gelandangan di sekitar Kuala Lumpur," katanya.

Beliau berkata data yang diambil dalam operasi itu juga akan membantu pihak kementerian dan agensi terlibat untuk menyemak semula keperluan dasar atau peraturan sedia ada sekiranya terdapat keperluan.

Operasi bersepadu melibatkan kekuatan sebanyak 203 pegawai dan anggota itu turut dibantu beberapa agensi termasuk Polis Diraja Malaysia, Majlis Keselamatan Negara, DBKL, YKN, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara, Agensi Antidadah Kebangsaan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

-- BERNAMA