Seorang pelajar Kolej Al-Quran Terengganu maut selepas kereta yang dipandu abangnya terbabas lalu merempuh tiang telefon dan pagar sebuah rumah tumpangan.

Kemalangan berlaku di kilometer 64 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan kira-kira jam 5.00 petang Khamis.

Ahmad Syaqiq Balkhi Ahmad Fauzi, 16, disahkan meninggal dunia selepas lebih dua jam bertarung nyawa akibat kecederaan parah bahagian dalaman badan.

Ketika kejadian, mangsa yang menaiki kereta jenis Toyota Vios yang dipandu abangnya, Ahmad Baihaqi Fathi Ahmad Fauzi, 18, dalam perjalanan dari Kuala Terengganu menghala ke bandar Dungun.

Kereta berkenaan dikatakan terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar sebatang tiang telefon dan pagar sebuah rumah tumpangan. - Foto Astro AWANI

Kereta berkenaan dikatakan terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar sebatang tiang telefon dan pagar sebuah rumah tumpangan.

Mangsa dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Dungun untuk rawatan dan disahkan meninggal oleh pegawai perubatan kira kira jam 7.30 petang.

Bagaimanapun,abangnya hanya mengalami kecederaan ringan.


Ketua Polis Daerah Dungun, Supt. Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

Jenazah Ahmad Syaqiq Balkhi kemudiannya dihantar ke unit forensik untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan ( APJ ) 1987.