Kerajaan bakal melaksanakan satu pelan tindakan pencegahan bagi mengurangkan risiko bencana alam di seluruh negara dengan menggunakan pendekatan secara holisitik melibatkan kepentingan sumber manusia, logisitk, ekonomi dan alam sekitar.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, tindakan pencegahan itu termasuklah melaksanakan program-program mitigasi bagi mengurangkan risiko bencana sedia ada.

Beliau berkata, penambahbaikan perancangan dan tindak balas bencana serta pemulihan semula yang lebih baik selepas bencana adalah inisiatif yang wajar diaplikasi oleh semua pihak dalam kitaran pengurusan risiko bencana yang komprehensif.

"Dalam konteks ini, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang merupakan agensi peneraju utama pengurusan bencana negara bersama-sama dengan kerajaan negeri dan agensi-agensi berkaitan bencana di peringkat negeri serta daerah," katanya.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata demikian ketika berucap bersempena Program Penyampaian Bantuan Wang Ihsan kepada Mangsa Kebakaran di Dewan Serbaguna Daerah Putatan, Putatan, pada Jumaat.

Hadir sama adalah, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Christina Liew, Ahli Parlimen Putatan, Awang Husaini Sahari dan Pembantu Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Datuk Uda Sulai.

Dalam majlis berkenaan, Wan Azizah berkesempatan menyerahkan bantuan berupa wang ehsan dan melawat mangsa kebakaran di Kampung Pasir Putih, Putatan baru-baru ini.

Terdahulu, dalam kejadian jam 12.50 petang 11 Januari lalu, sebanyak 78 keluarga terpaksa sehelai sepinggang apabila lebih 55 buah rumah didiami mereka musnah dalam kebakaran berkenaan.

Sementara itu, dalam majlis yang sama, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM96,850 bagi pemberian bantuan wang ihsan serta bantuan keperluan persekolahan kepada mangsa-mangsa terlibat dalam kejadian kebakaran di Putatan dan Kudat.

"Setiap KIR akan menerima bantuan wang ihsan sebanyak RM500 manakala setiap pelajar akan menerima bantuan barangan keperluan persekolahan maksimum bernilai RM150 setiap seorang.

" Bantuan ini bukanlah berbentuk pampasan atau ganti rugi terhadap kerosakan rumah dan harta benda mangsa sebaliknya merupakan sumbangan ikhlas kerajaan untuk meringankan beban dialami mereka," katanya.