Seorang lelaki warga tempatan lemas manakala rakan wanitanya selamat selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi di gigi air di Pantai Batu Buruk, di sini petang Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, mangsa Neow Hack Wan, 41, sedang mandi di pantai berkenaan bersama rakan wanitanya, Lee Chai Hong sebelum mereka ditarik arus deras ke tengah laut.

Mangsa bersama anak perempuan dan tiga lagi rakannya yang berasal dari Johor Baharu datang ke Terengganu, Khamis lalu untuk menghabiskan percutian sempena Tahun Baru Cina.

Menurut rakan mangsa, Tay Hock Boon, 41, mereka pergi ke pantai berkenaan kira-kira pukul 6 petang dan dua rakannya itu bermain air di tepi pantai.

"Baru lima minit mereka bermain air tiba-tiba kami terdengar mangsa meminta tolong dengan tangan terkapai-kapai...saya terus terjun ke dalam air dan sempat menarik Chai Hong manakala Hack Wan dibawa arus ke tengah laut.

"Orang ramai cuba membantu menyelamatkan Hack Wan namun gagal...ini kali pertama kami datang ke Terengganu dan pada awalnya kami hanya ingin menghabiskan masa di pantai sebelum kedua-dua mangsa membuat keputusan untuk mandi," katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Mayat mangsa yang bekerja sebagai penyelia kedai perabot ditemui kira-kira pukul 7 petang Jumaat tidak jauh dari lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri Supt Kamaluddin Mohamad ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya mayat mangsa dibawa ke unit Forensik HSNZ untuk dibedah siasat manakala rakannya turut menerima rawatan di hospital sama dan kini dilaporkan stabil.