Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi menyifatkan Malaysia berada di landasan yang betul bagi mencapai pertumbuhan industri pelancongan yang mampan.

Menerusi satu kenyataan pada Rabu, Mohamaddin berkata industri pelancongan negara merupakan antara penyumbang utama kepada sektor perkhidmatan negara, dengan sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 14.9 peratus atau RM201.4 bilion.

"Industri pelancongan merupakan penyumbang ketiga terbesar dengan sumbangan bernilai RM73.3 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar. Di samping itu, guna tenaga industri pelancongan juga mencatatkan rekod tertinggi iaitu seramai 3.2 juta orang, 22.7 peratus daripada jumlah guna tenaga keseluruhan pada 2016," katanya.

Menurut Mohamaddin, kementerian sentiasa berusaha untuk menarik lebih ramai pelancong ke Malaysia dan seterusnya meningkatkan lagi skor di peringkat antarabangsa.

Katanya, kementerian menyasarkan untuk menarik 30 juta pelancong dengan jumlah pendapatan RM100 bilion pada 2020 berbanding sasaran tahun ini iaitu 26.4 juta pelancong dengan pendapatan RM84.9 bilion.

"Sejajar dengan pengumuman Belanjawan 2019 yang dibentangkan baru-baru ini, kementerian akan mempergiatkan usaha mempromosikan Malaysia sebagai negara utama tumpuan pelancong di dunia dengan pelbagai tarikan alam semula jadi, seni, budaya, kesihatan, makanan dan pelbagai produk inovasi," katanya.

Euromonitor International sebuah agensi kajian pasaran global yang berpangkalan di London, United Kingdom baru-baru ini mendedahkan Malaysia mengekalkan rekod dalam kelompok 10 negara destinasi pelancongan terbaik dunia 2018.

Agensi itu menyatakan enam daripada 10 kota raya paling kerap dikunjungi pada 2017 adalah di Asia dengan Hong Kong dan Bangkok sebagai kedudukan dua teratas manakala Singapura, Macau, Kuala Lumpur dan Shenzen dalam kalangan 10 teratas di peringkat global.

Industri pelancongan negara juga menerima pelbagai pengiktirafan dunia sepanjang 2018, antaranya Anugerah BrandLaurete Best Brand 2017-2018 bagi kategori Kecemerlangan Jenama Negara; Bandar Diraja Muar - Bandar Pelancongan Paling Bersih di ASEAN, lima tahun berturut-turut skor tertinggi bagi 'Ekosistem Ekonomi Islam' termasuk Pelancongan Halal, Makanan dan Rekreasi, 'Laporan Ekonomi Islam Global' 2018/2019 oleh Thomson Reuters.

-- BERNAMA