Pelantikan Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay sebagai Ketua Polis Johor (CPO) adalah untuk memberi pendedahan dan pengalaman baharu kepada beliau.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, Ayob Khan sudah berkhidmat di cawangan khas Bukit Aman untuk tempoh masa yang panjang dan perlu bertugas di luar.

“Beliau perlu didedahkan dan telah melakukan banyak kerja. Saya beri beliau peluang ke bawah untuk memimpin dan beliau masih muda lagi.

“Ayob khan sudah terlalu lama, kalau saya biarkan beliau lagi di Cawangan Khas lebih lama, orang akan panggil Ayob Khan pengganas pula, sebab itu memang kerja beliau,” katanya, pada Jumaat.

Beliau ditemui pada sidang media majlis serah terima tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, di Bukit Aman, di sini.

Abdul Hamid berkata, pertukaran Ayob Khan dibuat secara kebetulan bersama persaraan pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini.

Ditanya sama pertukaran Ketua Polis Johor Datuk Kamarudin mempunyai kaitan dengan suatu insiden di Johor baru-baru ini, Abdul Hamid enggan mengulas lanjut.

“Sukar saya hendak jawab tetapi kalau dilihat daripada latar belakang Kamarudin, beliau adalah seorang pakar siber dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil.

“Sudah tiba masanya beliau ditukar dan jika hendak mengaitkan dengan insiden berkenaan ia terpulang kepada andaian masing-masing,” ujarnya.

Ayob Khan dijadual menjawat jawatan CPO Johor pada 6 Mac ini.