Pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan maut membabitkan lima kenderaan di simpang tiga Jalan Lukut-Sepang di sini pada Rabu akan direman pagi ini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supt Zainudin Ahmad berkata pemandu berusia 54 tahun itu akan direman di Mahkamah Majistret Port Dickson.

"Lelaki berkenaan telah hadir menyerah diri di bahagian trafik IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Port Dickson," katanya.

Dalam kejadian pada 2.30 petang semalam, empat warga Singapura maut dan lima cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kereta, sebuah lori dan sebuah motosikal.

Menurut Zainudin, empat yang maut ialah penumpang kereta jenis Honda Stream dikenal pasti sebagai Rosli Samad, 54, Maimunah Sapari, 51, Dayana Sarah Rosli, 18 dan Nor Amalina Rosli, 21.

"Kesemua mangsa beralamat di Singapura. Bedah siasat akan dilakukan esok," katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati lori dari arah Sepang itu telah melanggar sebuah motosikal sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh tiga lagi kenderaan iaitu Honda Stream, Mercedes dan Perodua Myvi.

"Lima yang cedera ialah pemandu tiga kereta, penunggang motosikal dan pemandu lori berkenaan," katanya.

Beliau berkata kesemua mangsa yang maut dan cedera dihantar ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat dan rawatan.