Ahli-ahli parlimen pembangkang hari ini menyerahkan satu memorandum kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mendesak supaya Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dibebaskan dengan serta-merta.

Mereka juga mendesak Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar supaya memaklumkan kepada Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia sekiranya mempunyai sebarang urusan dengan mana-mana ahli parlimen ketika Dewan bersidang.

Ahli Parlimen Sungai Petani (PKR), Datuk Johari Abdul menjelaskan pihaknya tidak berpuas hati dengan cara polis menahan Rafizi.

FOTO: Dari Parlimen ke Bukit Aman, pembangkang tuntut bebaskan Rafizi

BACA: Rafizi Ramli direman tiga hari

Katanya cara Polis menahan Naib Presiden PKR itu memberi gambaran seolah-olah beliau adalah seorang penjenayah dan menjadi ancaman kepada negara.

"Kita minta Ketua Polis Negara melepaskan Rafizi kerana ini bertentangan dengan etika yg diamalkan.

"Kedua kita minta supaya mengiktiraf sentitif parlimen dan daulatkan parlimen," katanya dalam satu sidang media di Parlimen, di sini, hari ini.

Jelasnya, penahanan Rafizi di kawasan Parlimen adalah satu pencabulan ke atas Institusi Parlimen, institusi paling tinggi dalam sistem dan amalan politik yang digunakan dalam negara ini.

Pada Selasa, Rafizi ditahan di luar bangunan Parlimen dan akan disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Sehari selepas Setiausaha Agung PKR itu ditahan, beberapa anggota parlimen pembangkang membantah tindakan Polis itu.

Mereka berpendapat polis tidak seharusnya membelakangkan kuasa Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia untuk menahan mana-mana Ahli Parlimen ketika dewan sedang bersidang.