Pemuda PAS Malaysia (PPM) menyifatkan kejadian samun yang menimpa dua orang rahib di hadapan pintu masuk Gereja Visitation, Seremban sebagai suatu perlakuan jenayah kejam.

Setiausaha PPM, Mohd Nasaie Ismail melahirkan rasa sedih dan bersimpati ke atas dua orang rahib, Julianna Lim dan Sister Mary-Rose yang diserang oleh penyerang yang tidak dikenali dengan tujuan untuk menyamun pada hari Rabu lalu.

“Kejadian tersebut adalah tidak berperikemanusiaan kerana melakukan jenayah terhadap dua warga emas serta mencederakan mereka dan salah seorang biarawati terbabit, sister Julianna Lim, saya difahamkan mengalami kecederaan teruk di otak yang tidak dapat dipulihkan,” katanya dalam satu kenyataan media kepada Astro AWANI.

Tambahnya lagi, masyarakat Malaysia sememangnya tidak boleh menerima kejadian seperti itu berlaku di tanah air.

“Insiden memukul, mencederakan dan menyamun warga emas apatah lagi golongan rahib adalah sesuatu yang amat bercanggah dengan ajaran mana-mana agama. Keganasan dan jenayah seperti ini bukan budaya masyarakat Malaysia yang cintakan keamanan dan kedamaian,”.

Mohd Nasaie mengharapkan kejadian bukan bermotif dendam, sentimen kebencian perkauman serta keagamaan.

“Kejadian ini mengingatkan semua pihak supaya aspek keselamatan perlu dipertingkatkan setiap masa. Kawasan gereja tersebut perlu dipantau supaya supaya setiap petugas dan tenaganya mendapat perlindungan sebaiknya,”.

Siasatan menyeluruh juga perlu dilakukan dengan mencari punca kejadian berlaku dan suspek yang melakukannya.

PPM mengharapkan agar kedua-dua mereka segera sembuh dan pulih dari kecederaan dan penjenayah terbabit segera diberkas dan dihukum dengan hukuman yang setimpal.