Penahanan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli di luar bangunan Parlimen tertakluk kepada undang-undang sedia ada.

Justeru Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahu dakwaan sesetengah pihak bahawa tindakan polis menyalahgunakan kuasa, dihentikan serta merta.

"Saya yakin tindakan yang dilakukan oleh pihak polis itu adalah berasaskan undang-undang yang sedia ada dan undang-undang itu telah diluluskan oleh ahli Parlimen sama ada yang dulu ataupun sekarang," katanya di Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini.

Pada Selasa lalu, Rafizi telah ditahan mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) kerana pendedahannya mengenai dokumen Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang mendakwa hubungan antara 1MDB dan Lembaga Tabung Angkatan TENTERA (LTAT).

Pemimpin pembangkang itu ditahan di luar bangunan Parlimen kira-kira jam 6 petang oleh 10 pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Rafizi direman selama tiga hari yang berakhir Jumaat ini bagi membantu siasatan berhubung tindakannya mendedahkan dokumen yang diklasifikasikan sebagai rahsia.