Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari menyerahkan sepenuhnya siasatan berhubung isu pencemaran Sungai Selangor kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sehubungan itu, beliau masih menunggu laporan penuh daripada pihak berkenaan sebelum mengeluarkan sebarang tindakan.

Sebelum ini, Amirudin tidak menolak terdapat unsur sabotaj melibatkan pencemaran Sungai Selangor sebelum dinafikan oleh Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador yang sebaliknya berkata, masalah itu berpunca kecuaian.

“Kenyataan saya dulu tidak menolak sekiranya ada (sabotaj), saya serah pada pihak polis kerana mereka pasti ada kaedah tertentu”.

“Sekiranya benar berpunca dari kecuaian, kita akan ambil laporan rasmi dari pihak polis dan ambil tindakan terhadap pihak yang melakukan kecuaian tersebut”, katanya ketika ditemui pada Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor pada Rabu.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd pula dalam maklum balas mereka memberitahu, pencemaran diesel dikesan di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa (SSP) 1, 2 dan 3 serta LRA Rantau Panjang dari sumber air mentah Sungai Selangor dan menyebabkan gangguan air berskala besar kepada pengguna sekitar Lembah Klang.