Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan beliau tidak akan campur tangan dalam hal operasi Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab terhadap ROS berkata jabatan itu dan kementeriannya bertindak profesional dalam mengendalikan urusan.

"ROS akan bertindak profesional. Oleh kerana soal berkenaan merupakan soal operasi, biarpun ROS di bawah KDN, saya tidak meletakkan tangan saya (masuk campur) dalam mereka (ROS) membuat cadangan untuk menerima atau sebaliknya (menolak) berhubung permohonan Pakatan Harapan (PH).

"Dalam perkara itu, saya fikir pihak KDN berlapang dada untuk bertemu walaupun perjumpaan itu dilakukan Jawatankuasa Penaja PH dan saya merasakan bahawa ROS akan bertindak profesional," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD) Bil.1/2017 di Parlimen hari ini.

Beliau mengulas kelewatan pendaftaran PH yang disebabkan masalah yang timbul dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan DAP.

Ahmad Zahid bagaimanapun enggan mengulas mengenai dakwaan kononnya ROS sengaja melewatkan pendaftaran PH menjelang Pilihan Raya Umum ke-14.

Tegasnya, PPBM dan DAP perlu menyelesaikan dua isu utama melibatkan perlembagaan kedua-dua parti itu terlebih dahulu.

"PH masih belum menyelesaikan sepenuhnya laporan pemilihan semula CEC DAP. Oleh kerana itu ROS belum menerima laporan akhir dan senarai CEC yang terkini selepas pemilihan semula pada 12 November lalu.

"Di samping itu, perkara kedua adalah masalah PPBM iaitu kegagalan parti berkenaan mengadakan Perhimpunan Agung Tahunan sejak ia diluluskan pendaftarannya. PPBM juga telah memohon pindaan perlembagaan yang masih belum diluluskan," katanya.