Penduduk di sekitar pekan Ipoh dikejutkan dengan dentuman letupan kuat dipercayai dari bahan mercun di sekitar Jalan Dato Onn Jaafar tengahari Ahad.

Kejadian itu menyebabkan ramai pengguna jalan raya pada pagi Ahad yang sibuk itu cemas dan ramai segera melarikan diri dari tempat kejadian.

S. Nirmala, 48, seorang peniaga kedai runcit di kawasan berhampiran lokasi berkata, beliau terdengar bunyi letupan sekitar 11 pagi sebelum menghubungi pihak polis.

"Saya nampak api dan asap daripada sebuah pasu bunga, dan bunyi dentuman itu amat berbeza daripada letupan mercun biasa. Sepanjang lapan tahun saya berniaga di sini, inilah kali pertama saya mengalami kejadian sebegini," katanya kepada Astro AWANI.

Katanya, beliau turut ternampak seorang lelaki yang berada berhampiran dengan pasu bunga yang pecah akibat letupan tersebut.

Pihak polis mengkaji serpihan pasu bunga yang pecah di Jalan Dato Onn Jaafar. - Astro AWANI
Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Supt Anuar Othman berkata pihaknya menerima panggilan pada 11.30 pagi dan setibanya di sana mereka mendapati sebuah pasu berisi pokok mati telah pecah berselerak.

Katanya, walaupun dentuman itu agak kuat namun pihak Forensik IPD dan Unit Pencegah Bom telah mengesahkan letupan adalah berskala rendah.

Tegasnya, tiada sebarang kecederaan berlaku kepada pelintas dan pengguna kenderaan tersebut berikutan serpihan pasu bunga yang pecah.

Bagaimanapun, disebabkan tiada sebarang CCTV, polis masih lagi cuba mengesan suspek yang disyaki menggunakan mercun berskala besar dan hanya beredar dari tempat kejadian setelah letupan berlaku.

"Kita akan menyiasat kes letupan setinggi 3.5 meter ini di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api atau bahan letupan.

"Saya ingin menasihatkan orang ramai jangan terlalu ikutkan hati bermain mercun pada perayaan kerana boleh menyebabkan kecederaan pada orang lain dan diri sendiri," ujarnya.