Penduduk di sebuah Rumah Pangsa Sri Sabah di Cheras yang sebahagiannya sedang bersiap untuk makan tengah hari panik seketika apabila terdengar bunyi dentuman kuat di bawah blok.

Sejurus diperiksa, mereka terkejut apabila mendapati bunyi kuat tersebut sebenarnya adalah kesan hentaman tubuh lelaki yang dipercayai terjun dari tingkat 17 rumah pangsa berkenaan.

Pihak polis menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu kira-kira jam 12 tengah hari.

Mangsa yang berseluar pendek dan berbaju-T warna merah itu dilaporkan maut serta-merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan dada.

Pemeriksaan lanjut mendapati si mati dipercayai warga asing kerana tiada kesan suntikan BCG (vaksin bacille Calmette-Guerin) untuk penyakit tuberculosis, di lengannya.

Soal siasat dari penduduk juga mendapati si mati yang berusia lewat 30-an tersebut bukan menetap di rumah pangsa berkenaan.

Tiada sebarang dokumen pengenalan diri pada si mati, dan mayat sudah dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk dibedah siasat.