NATIONAL
Penemuan mayat Nora Anne: Penduduk zahir rasa sedih

Mayat Nora Anne dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, untuk proses bedah siasat, 13 Ogos, 2019. -- fotoBERNAMA
Penduduk di sekitar kawasan resort di Pantai, Seremban di sini menzahirkan rasa simpati, hiba dan terkejut susulan penemuan mayat remaja warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, pada hari ke-10 kehilangannya dari sebuah resort di sini.
Rata-rata penduduk di sini, seakan tidak percaya kehilangan remaja malang itu berakhir sebegitu selain menyifatkan ia sebagai peristiwa 'hitam' buat kampung berkenaan.
Mohamad Afendi Azhar, 26, berkata kejadian itu adalah peristiwa pertama di kawasan itu membabitkan kes kehilangan individu yang berakhir dengan kematian.
Katanya, dia bersama penduduk kampung pernah berusaha mencari remaja itu pada hari kedua selepas dilaporkan hilang pada 4 Ogos, namun gagal.
Seorang lagi penduduk yang ingin dikenali sebagai Malik, 28, mengakui terkejut apabila mendapat berita penemuan mayat itu yang berada kira-kira 2.5 kilometer dari resort Nora Anne dilapor hilang.
"Tak sangka akan jumpa dalam keadaan macam ni (tidak bernyawa). Memang simpati dengan keluarga mangsa. Walaupun jumpa dalam keadaan sudah tidak bernyawa tetapi sekurang-kurangnya tanda tanya selama ini kehilangan Nora Anne terungkai," katanya.
Beliau berkata kebanyakan kes yang berlaku di situ hanya melibatkan kejadian orang sesat dan kebiasaannya akan dijumpai selamat dalam masa singkat.
"Masa saya ikut operasi itu, kami ada lalu kawasan tu (lokasi penemuan mayat) tapi kami tak temui apa-apa, tiga hari ikut operasi," katanya.
Nora Anne bersama keluarganya tiba di Malaysia pada 3 Ogos bagi percutian selama dua minggu di sini dan remaja itu disedari hilang oleh keluarganya dari bilik penginapan mereka pada 8 pagi hari berikutnya. Mayatnya ditemui pukul 1.57 tengah hari Selasa.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami