Pengeluar berasaskan kayu Malaysia boleh menjangkakan pulangan tinggi tahun ini apabila ekonomi-ekonomi di rantau ASEAN semakin mengukuh, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Industri Datuk Seri Mah Siew Keong.

Beliau berkata prospek positif itu adalah hasil daripada sokongan permintaan kukuh domestik dan perbelanjaan prasarana di rantau ini.

"Kerajaan menjangkakan pulangan ketara yang kukuh daripada prospek perdagangan ini dan akan melakukan yang terbaik untuk menyokong industri," katanya pada Malam Media Majlis Perkayuan Malaysia 2018, di sini, pada Jumaat.

Mah berkata kerajaan telah melaksanakan pelbagai usaha dalam memastikan pertumbuhan dan kelestarian industri kayu, termasuk menyediakan insentif kewangan bagi pengimportan benih untuk pembangunan perladangan hutan.

"Kementerian ketika ini juga sedang merangka Pelan Pembangunan Batang Kelapa Sawit Negara yang akan menumpukan kepada penggunaan batang kelapa sawit sebagai bekalan bahan mentah alternatif," katanya.

Industri perkayuan merupakan satu daripada penyumbang utama kepada ekonomi Malaysia. Kayu dan produk berasaskan kayu adalah komoditi ketiga paling penting selepas minyak sawit dan getah.

Eksport kayu dan produk berasaskan kayu meningkat sebanyak 6.8 peratus kepada RM21.4 bilion dalam tempoh Januari-November 2017 berbanding dengan tempoh yang sama pada 2016.

Bagi tempoh 10 tahun lepas, pendapatan eksport tahunan sektor ini bernilai antara RM20 bilion dan RM22 bilion.

-- BERNAMA