Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini diberitahu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar memperkenankan penubuhan Universiti Johor, Jun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Johor Aminolhuda Hassan berkata beberapa jawatankuasa panel penasihat dan sekretariat diwujudkan sejak awal Jun lepas bagi membolehkan kajian dan gerak kerja penubuhan universiti itu.

"Beberapa siri mesyuarat telah diadakan bagi membincangkan konsep dan falsafah asas Universiti Johor. Pada 19 Jun lepas, Sultan Ibrahim telah perkenan penubuhan Universiti Johor dan pada 24 Julai lepas, perjumpaan bersama Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik juga telah dilakukan bagi membincangkan penubuhan universiti itu.

"Kertas asas perancangan Universiti Johor telahpun dibentangkan kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri Johor (UPENJ), Kementerian Pendidikan, Jabatan Pendidikan Tinggi serta wakil Menteri Pendidikan pada 6 Ogos lepas," katanya pada sesi penggulungan.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan Johor Mohd Khuzzan Abu Bakar.

Aminolhuda berkata pihaknya menerima maklum balas positif dan semua pihak amat komited bagi membantu kerajaan negeri merealisasikan penubuhan universiti tersebut.

Beliau berkata Universiti Johor akan memperkenalkan konsep 'Quadruple Helix' iaitu kerjasama universiti, industri, kerajaan dan komuniti di mana setiap graduan yang lahir daripada Universiti Johor merupakan graduan yang memenuhi kehendak industri, kerajaan dan komuniti.

"Pihak kerajaan sememangnya komited dalam merealisasikan Universiti Johor yang merupakan salah satu manifesto Pakatan Harapan dan memastikan manfaatnya dinikmati rakyat," katanya.

-- BERNAMA