Kecelaruan yang timbul daripada keputusan Peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dilihat tidak dapat membantu meningkatkan sistem pendidikan negara.

Ketua Program Sains Politik Pusat Pengajian Sejarah, Sains dan Strategi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff berkata, pihak berkenaan perlu melakukan tinjauan secara jujur daripada kalangan guru dan ibu bapa selain mengambil setiap pandangan mereka dengan teliti.

"Itu cara terbaik. Ibu bapa tidak berpuas hati dengan pentaksiran mengikut sekolah ini kerana kertas jawapan diperiksa oleh guru yang sama mengajar di sekolah, tidak oleh guru dari sekolah atau negeri lain.

"Mereka mempersoalkan tentang keadilan untuk memohon masuk ke sekolah berasrama penuh dan lainnya.

"Betul, soalan PT3 adalah berbentuk subjektif yang memerlukan pelajar berfikir. Betul, soalan PT3 adalah bersifat Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Tetapi pertanyaannya, apakah dengan KBAT ini, ia dapat membantu kita dalam menaikkan taraf pendidikan negara?" katanya dalam catatan terbaharu di laman Facebooknya.

Jelas Mohammad Agus, hasil tinjauannya dengan ibu bapa dan guru mendapati ia merupakan peperiksaan yang paling bercelaru, kelam kabut dan kucar kacir.

"Kata mereka, inilah peperiksaan yang format peperiksaannya bersifat 'ad hoc', diumumkan lewat, anak-anak dijadikan bahan uji kaji selain calon-calon dan para guru tidak diberitahu langsung tentang peperiksaan ini pada peringkat awalnya dan banyak lagi," jelasnya.

Mohammad Agus turut difahamkan hanya 11 orang dari Kolej Tunku Kurshiah, 10 dari Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra, seorang dari Sekolah Datuk Abdul Razak (SDAR), seorang dari Sekolah Menengah Sains Kota Tinggi, 21 dari Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah dan 26 orang dari Sekolah Tun Fatimah (STF) mendapat semua A dalam ujian PT3.

Peperiksaan PT3 dilaksanakan bagi menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR) sebelum ini yang bertujuan melihat pencapaian prestasi pelajar mengikut penilaian band 1 (paling lemah) hingga band 6 (paling baik).

Kira-kira 453,413 calon di seluruh negara menduduki ujian PT3 di 2,608 pusat peperiksaan pada Oktober lalu.

Sehingga petang Selasa, catatan Mohammad Agus berkenaan menerima lebih 2,200 'like', dikongsi lebih 600 pemilik akaun Facebook lain selain lebih 300 komen.

Kebanyakan komen menyokong catatan Mohammad Agus dan menyatakan sistem pendidikan dan peperiksaan yang diguna selama ini hanya perlu ditambah baik dan bukan diubah konsepnya.


Beberapa reaksi daripada catatan Facebook Mohammad Agus yang melihat perlu penambahbaikan PT3 pada masa akan datang - Gambar Facebook