Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim mengekalkan kejuaraannya dalam Ujian Kemahiran Menembak 5 Penjuru anjuran Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) di sini, hari ini.

Baginda dinobatkan sebagai penembak terbaik bagi kategori 'Centre Fire' individu.

Tuanku Zara menjuarai kategori sama sejak pertandingan itu diadakan pada 2012.

Sementara itu, juara keseluruhan kali ini disandang Badan Kebajikan Angkatan Tentera (Bakat) Perak.
Acara tahunan kali kelima itu disertai pasukan Istana Perak, Puspanita, Bakat, Persatuan Keluarga Polis (Perkep) dan Badan Amal dan Isteri-isteri Wakil Rakyat Perak (Baiduri).

Pertandingan itu diadakan bagi mengeratkan hubungan silaturahim antara badan-badan kebajikan dan persatuan yang terlibat.