Persatuan perubatan dan berkaitan kesihatan menyambut baik keputusan kerajaan untuk menangguhkan pemansuhan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) kepada anggota perkhidmatan awam profesional baharu pada tahun depan.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr. N Ganabaskaran dalam satu kenyataan berkata beribu-ribu doktor muda, pegawai pergigian, ahli farmasi, pembantu pegawai perubatan dan jururawat yang akan berkhidmat di kemudahan penjagaan kesihatan kerajaan akan terjejas jika Jabatan Perkhidmatan Awam meneruskan rancangan itu.

Oleh itu, beliau berkata, persatuan menghargai keputusan kerajaan memberi masa supaya perkara tersebut dibincangkan dalam mesyuarat kabinetnya yang akan datang pada Januari.

"Kami memerlukan penyelesaian jangka panjang untuk menangani isu-isu ini yang telah diperkatakan ... belanjawan yang dibelanjakan untuk tenaga kerja adalah pelaburan dan semangat tenaga kerja mesti dijaga," katanya dan menambah tahap motivasi yang rendah dan perasaan kurang dihargai akan mempengaruhi penyampaian penjagaan kesihatan kepada rakyat.

Sementara itu, lima persatuan profesional, dalam satu kenyataan bersama, menggesa kerajaan supaya mengembalikan bayaran itu sepenuhnya memandangkan pengamal perubatan yang bakal terjejas itu perlu bekerja lama pada waktu malam, hujung minggu dan waktu cuti, dengan berkorban untuk diri sendiri dan keluarga dari segi fizikal dan emosi.

BACA: Benarkah elaun parkir menteri RM5,000? Ini reaksi menteri, timbalan menteri

BACA: Syed Saddiq pulangkan elaun, protes pekeliling JPA

Lima persatuan itu ialah Pembantu Perubatan Malaysia, Persatuan Pergigian Malaysia, Persatuan Jururawat Malaysia, Persatuan Farmasi Malaysia, dan MMA.

"Ramai didorong oleh semangat kewajipan dan patriotisme dan kekal dalam sektor awam walaupun gaji dan persekitaran lebih baik di sektor swasta atau negara lain maka negara mesti menghargai perkhidmatan dan pengorbanan mereka dengan pampasan yang mencukupi dari segi kewangan dan bukan kewangan," menurut kenyataan itu.

Pemansuhan itu boleh menyebabkan perkhidmatam awam menjadi kurang menarik sebagai pilihan kerjaya, malah lebih ramai akan meninggalkan sektor itu untuk ke sektor swasta atau negara lain.

"Keberkesanan perkhidmatan kesihatan Malaysia akan terjejas dan ini pastinya mempengaruhi mutu penjagaan kesihatan rakyat negara ini secara keseluruhan...kesihatan adalah perkhidmatan kritikal untuk Malaysia, dan tahap kesihatan yang lebih tinggi akan membawa kemajuan sosial dan ekonomi," menurut kenyataan itu.

Pada Jumaat, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menerusi rakaman video di laman Twitternya, berkata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad bersetuju menangguhkan pemansuhan bayaran itu bagi penjawat awam dalam 33 Skim Perkhidmatan Kritikal.

Syed Saddiq berkata Dr Mahathir juga bersetuju untuk membincangkan isu berkenaan dalam mesyuarat kabinet pertama tahun hadapan.

-- BERNAMA