Persidangan Dewan Negara bagi mesyuarat ketiga penggal kelima Parlimen ke-13 ditangguhkan pada Selasa selepas bersidang selama 10 hari dan meluluskan 13 Rang Undang-Undang (RUU).

Ia meliputi RUU Perbekalan 2018, RUU Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) (Pindaan) 2017, RUU Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) (Pindaan) 2017, RUU Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) 2017, RUU Kewangan (No.2) 2017, RUU Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan (Pindaan) (No.2) 2017, RUU Cukai Pendapatan (Pindaan) 2017, RUU Dadah Berbahaya (Pindaan) 2017 dan RUU Timbang Tara (Pindaan) 2017.

Sidang Dewan Negara turut meluluskan RUU Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Warga Emas Swasta 2017, RUU Pusat Jagaan (Pindaan) 2017, RUU Industri Pelancongan (Pindaan) 2017, RUU Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Pindaan) 2017

Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri S.A. Vigneswaran pada akhir persidangan berkata beliau bangga dengan prestasi yang ditunjukkan anggota dewan yang disifatkannya bertanggungjawab dan mengikut semua peraturan ditetapkan.

Pada masa yang sama, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada lima senator yang tamat tempoh perjawatan sebagai anggota dewan negara iaitu Datuk Lihan Jok, Datuk Yoo Wei How, Datuk Zali Mat Yasin, Datuk Kadzim M. Yahya dan Abdul Shukor Mohd Sultan.

Persidangan dewan ditangguhkan sehingga ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

-- BERNAMA