Bukti terbaharu tragedi pesawat Malaysia Airlines MH17 berkemungkinan menjadi isu utama dalam pertemuan Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Presiden Rusia, Vladimir Putin seiring Sidang Kemuncak ASEAN di Singapura pada Selasa nanti.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata wujud kemungkinan isu tersebut bakal dibincangkan oleh kedua-kedua pemimpin negara itu.

“Pendirian kita (Malaysia) sangat jelas. Kita menunggu laporan konklusif daripada Pasukan Penyiasat Bersama (JIT).

“Kita tidak menyebelahi mana-mana pihak dalam hal ini, kita tunggu laporan JIT,” katanya pada sidang media sempena sidang kemuncak itu di sini hari ini.

JIT yang dianggotai pendakwaraya dan polis Belanda, wakil dari Malaysia, Australia dan Ukraine ditubuhkan selepas pesawat malang itu ditembak jatuh pada Julai 2014, mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal.

Pada Mei lalu, JIT menyatakan bahawa pesawat itu mungkin ditembak oleh pemberontak pro-Rusia yang menentang kerajaan Ukraine, yang mana Moscow telah menafikannya.

Tentera Rusia pula mendakwa nombor siri pada peluru misil yang menjatuhkan pesawat tersebut adalah hak milik Ukraine.

Pada peringatan empat tahun tragedi itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata Malaysia akan terus mencari keadilan kepada mangsa MH17 dan keluarga mereka.