Pendakwaan melibatkan Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony yang sepatutnya berlangsung pada Isnin di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terpaksa ditangguhkan.

Perkara itu susulan keadaan Peter yang telah dimasukkan ke hospital akibat vertigo.

Hakim, Rozina Ayob kemudian menetapkan tarikh 10 Julai bagi mendengar semula pertuduhan kes.

Sementara itu, Peter diwakili Peguam, Haniff Khatri memaklumkan anak guamnya dimasukkan ke Hospital KPJ Kota Kinabalu pada petang semalam ekoran keadaan kesihatannya.

Pihak mahkamah turut meminta Peter mengemukakan dokumen hospital termasuk sijil sakit bagaimanapun ia hanya boleh didapati pada waktu bekerja dan akan diperoleh dalam masa terdekat, jelas Haniff.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan semalam memaklumkan Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu akan dituduh di Mahkamah Sesyen di ibu negara pagi ini atas beberapa pertuduhan.

Sebelum ini, Peter turut berdepan lima pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram berjumlah RM8.5 juta, bagaimanapun beliau membuat pengakuan tidak bersalah.