Kepimpinan PKR masih belum membuat keputusan sama ada parti itu akan menyokong atau menolak Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata kepimpinan PKR akan mengadakan mesyuarat pada 17 Oktober depan untuk berbincang berkenaan isu tersebut.

"Kita ada mesyuarat pada 17 Oktober nanti. Ia hanya perbincangan. Kita telah menentukan tarikh perbincangan dan kita akan bincang," katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Apresiasi Inovasi Negeri Selangor Tahun 2016 di Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan memberi sebarang jaminan sama ada keputusan mampu dicapai pada 17 Oktober ataupun tidak.

Pada 26 Mei lepas, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga anggota Parlimen kawasan Marang mengemukakan usul RUU berkenaan di Dewan Rakyat.

Usul berkenaan kini tersenarai dalam perkara keempat Aturan Mesyuarat Dewan Rakyat yang bakal mula bersidang pada 17 Oktober depan.