Selepas tular kes penghantar makanan dikatakan menyeludup rokok dan dadah dijumpai di dalam bungkusan roti canai, berlaku pula kes pemandu lori ais membawa cecair dipercayai air ketum.

Kejadian berlaku ketika polis membuat sekatan jalan raya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kilometer 43, Jalan Ipoh - Teluk Intan, Mambang Diawan, di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Hasron Nazri Hashim berkata, kira-kira jam 2 petang, polis yang melakukan sekatan jalan raya sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menahan sebuah lori yang sedang dalam perjalanan ke Kampar.

Menurutnya, anggota polis telah mengarahkan suspek keluar daripada lori dan menjalankan pemeriksaan ke atas tubuh badan suspek tetapi tidak menjumpai apa-apa barang salah di sisi undang-undang.

“Anggota mengarahkan suspek membuka pintu bahagian tepi sebelah kiri lori tersebut dan pemeriksaan seterusnya telah menjumpai satu tong ais berpenutup warna oren.

"Di dalamnya terdapat 23 botol plastik lutsinar berisi cecair disyaki air ketum dengan anggaran isipadu 34.5 liter,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Hasron Nazri berkata, pemeriksaan seterusnya di bahagian pemandu telah menjumpai sepucuk surat kebenaran kerja dalam tempoh PKP atas nama suspek yang dikeluarkan oleh majikannya.

Menurutnya, ketika tangkapan dibuat, suspek yang berusia 35 tahun itu sedang bekerja untuk menghantar ais.

“Siasatan awal mendapati suspek mengaku mendapatkan bekalan air ketum tersebut untuk diminum sendiri dan dijual dengan harga RM12 sebotol,” ujarnya.

Siasatan lanjut diteruskan terhadap suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.