Walaupun penganjuran bazar Ramadan dilarang tahun ini, perkhidmatan penghantaran makanan atau e-hailing termasuk bagi restoran makanan segera, masih dibenarkan seperti biasa, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) itu berkata, lebih 40 syarikat e-hailing berdaftar di negara ini dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP.

Selain itu, Ahli Parlimen Bera itu berkata, kerajaan turut membenarkan syarikat kecil yang mempunyai penghantar makanan sendiri, atau individu yang membuat perkhidmatan hantar makanan di kawasan luar bandar, untuk terus beroperasi.

“Kita faham perkhidmatan 40 syarikat ini tidak ada di bandar kecil. Di bandar kecil mungkin ada syarikat sendiri yang buat penghantaran makanan atau individu yang diupah untuk hantar makanan.

“Mereka juga termasuk di dalam keputusan kita (mendapat kebenaran beroperasi). Dasar kita adalah syarikat kecil atau individu turut dibenarkan menghantar makanan,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Dalam sidang media semalam, Ismail Sabri mengumumkan cadangan operasi e-bazar Ramadan menerusi kaedah pandu lalu dan 'pick-up’ tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKP.

Beliau berkata, berkata keputusan itu dibuat selepas pihaknya meneliti dan mendengar pandangan Kementerian Wilayah Persekutuan melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenai cadangan berkenaan.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan mengarahkan golongan yang dibenarkan menghantar makanan supaya menjalani saringan kesihatan bagi memastikan mereka bebas daripada COVID-19.

"Mesyuarat hari ini turut memutuskan, demi menjaga keselamatan penghantar makanan ini, mereka mesti jalani saringan kesihatan yang boleh dibuat di mana mana Klinik Kesihatan atau di klinik swasta di daerah masing-masing.

"Kita mahu menjaga kesihatan mereka, sebab kita tahu mereka adalah orang yang akan hantar terus kepada pelanggan, pasti akan berlaku keadaan bersemuka dengan pelanggan," katanya lagi.

Ismail Sabri berkata, Kementerian Pengangkutan akan mengeluarkan arahan kepada 40 syarikat penghantaran terbabit, manakala Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna turut akan mengeluarkan garis panduan kepada restoran makanan segera.