Polis sedang mengesan suspek satu kejadian samun yang tular dalam media sosial pada Isnin.

Menurut Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin, pihaknya turut menerima satu laporan polis yang dibuat oleh mangsa pada jam 6.20 petang Isnin (21 September).

"Kejadian berlaku kira-kira jam 3.35 petang ketika mangsa yang bertugas sebagai jurujual sebuah syarikat pengedar emas di Kuala Lumpur bersama rakannya dalam perjalanan dari Jalan Kuchai Lama ke Sungai Besi melalui Lebuhraya Besaraya.

"Dua buah kenderaan jenis Toyota Hilux berwarna hitam telah menahan kenderaan mangsa di bahagian depan dan belakang menyebabkan kenderaan itu terhenti," katanya dalam kenyataan media pada Selasa.

Tambahnya, tiga orang suspek bersenjatakan parang kemudiannya telah memecahkan cermin kiri dan kanan kenderaan mangsa sebelum kedua-dua mereka ditarik keluar.

Polis berjaya menjumpai kenderaan digunakan suspek dalam keadaan terbakar di Damansara, Petaling Jaya pada malam Isnin.Foto Ihsan PDRM

Suspek bagaimanapun bertindak melarikan emas dan wang tunai yang ada dalam kenderaan tersebut dan melarikan diri.

Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan akibat serpihan cermin yang dipecahkan.

Polis bagaimanapun berjaya menemui dua kenderaan dipercayai digunakan suspek dalam keadaan terbakar di kawasan Petaling Jaya.

Jumlah kerugian masih dalam siasatan dan polis sedang mengesan kesemua suspek yang terlibat dalam jenayah itu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395 / 397 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun atau denda atau sebat jika sabit kesalahan.



Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu siasatan.

Tedahulu, video kejadian samun itu tular di laman sosial pada Isnin. Video berdurasi sembilan saat itu memaparkan dua lelaki bertopeng memegang parang sedang menarik mangsa keluar kenderaan.

Salah seorang suspek dilihat memegang sebuah beg dipercayai mengandungi wang tunai dan emas sebelum melarikan diri.