Polis Indonesia merampas enam buah buku terbitan syarikat Thukul Cetak yang bertajuk ‘Manifesto Komunis-Karl Marx & Friedrik Engels' kerana mempunyai logo komunis di Pesta Buku Antarabangsa Jakarta 2016 (IIBF 2016) di Senayan, Jakarta, pada Sabtu.

Empat warganegara Malaysia yang terlibat dalam pameran buku tersebut turut ditahan pihak berkuasa di sana.

Bagaimanapun, dalam laporan Berita Harian hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Mohd Khair Ngadiron ke sana mengesahkan bahawa empat rakyat Malaysia yang ditahan itu telah dibebaskan selepas disoal siasat pada Sabtu.

Beliau yang juga selaku Ketua Delegasi Malaysia ke sana berkata, penahanan berlaku apabila timbul salah faham berikutan paparan logo komunis di kulit buku tersebut.

Pada Sabtu, Ketua Pegawai Eksekutif Thukul Cetak, Zulfikri Zamir Mohamad Munir bersama Pengarah Besar ITBM, Sakri Abdullah disoal siasat pihak berkuasa Indonesia.

Turut disoal siasat ialah Ketua Jabatan Buku Malaysia, Rozlan Mohd Noor dan Ketua Bahagian Pemasaran & Jualan Buku, Khairulnizam Mohamad Yunis.

Dilaporkan, keempat-empat delegasi Malaysia yang ditahan sekitar jam 2 petang waktu Malaysia dibebaskan pada jam 8.45 Sabtu malam.

Tindakan dibuat pihak berkuasa setelah menerima aduan dari pengunjung mengenai penjualan buku berlogo komunis di pameran tersebut.

Buku berjudul ‘Manifesto Komunis-Karl Marx & Friedrik Engels' merupakan sebuah risalah politik oleh ahli falsafah Jerman yang diterbitkan pada 21 February 1848.

Ia pernah diterjemahkan dalam beberapa bahasa termasuk bahasa Melayu.