Mangsa banjir di Terengganu tidak perlu bimbang meninggalkan rumah mereka sepanjang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) kerana polis sentiasa memantau kawasan perumahan yang ditinggalkan kosong sepanjang bencana itu berlaku.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, ACP Fazlisyam Abdul Majid berkata sejak hari pertama banjir melanda Terengganu pada 28 Nov lalu hingga hari ini, pihaknya masih belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian jenayah seperti pecah rumah di kalangan mangsa banjir.

"Oleh itu saya berharap mangsa banjir tidak gusar, mereka boleh meninggalkan rumah mereka cuma pastikan semua pintu dan tingkap ditutup dan dikunci semuanya sebelum berpindah ke PPS," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Seramai 688 mangsa banjir daripada 159 keluarga masih berada di tiga PPS di dua daerah negeri ini setakat pukul 2 petang tadi. Daripada jumlah itu, seramai 662 orang (150 keluarga) berada di Kuala Nerus manakala 26 orang (sembilan keluarga) berada di Marang.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata polis turut menahan seorang lelaki berumur 19 tahun yang bergiat aktif dalam kes curi motosikal di sekitar daerah Marang.

"Suspek adalah antara 'Geng Kecek' yang bergiat aktif dalam kes curi motosikal di daerah itu. Sebelum ini pihak polis telah menahan lima ahli kumpulan itu pada awal tahun ini," katanya.

-- BERNAMA