Polis akan mengambil tindakan terhadap penganjur Ceramah Jelajah Pakatan Harapan yang diadakan di Kampung Bukit Jana, Kamunting pada malam semalam kerana meneruskan ceramah tanpa permit.

Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata ceramah yang dihadiri oleh beberapa ketua parti pembangkang seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Lim Guan Eng itu telah melanggar Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Beliau juga menegaskan dakwaan pihak pembangkang kononnya pihak polis sengaja mahu mensabotaj ceramah berkenaan dengan tidak mengeluarkan permit adalah tidak benar sama sekali.

"Kita tidak memberi permit sebelum ini kerana dia tidak mengikut syarat-syarat yang ditetapkan, tetapi pihak berkenaan tetap mengadakan juga ceramah.

"Oleh itu, kita akan ambil tindakan di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Latih Amal Ex-Undi Pilihan Raya Umum ke-14, di sini pada Ahad.

Tambah beliau, pihaknya juga telah menerima banyak laporan daripada penduduk sekitar yang membantah penganjuran ceramah terbabit.

"Kita menerima pelbagai laporan dan aduan daripada orang ramai mengenai ceramah ini.

"Ceramah itu menganggu lalu lintas, kenderaan serta lori yang digunakan untuk ceramah itu juga diletakkan di atas jalan raya. Oleh itu kita terpaksa ambil tindakan," ujar Hasnan.

Pada malam Sabtu, tindakan pakatan pembangkang mengadakan program ceramah di laluan masuk utama Kampung Bukit Jana termasuk menggunakan treler sebagai pentas utama ceramah telah menerima bantahan penduduk.

Selepas diminta mengalihkan treler berkenaan oleh polis sebelum ceramah bermula, penganjur telah bertindak mengantikan treler berkenaan dengan sebuah pacuan empat roda jenis pikap sebagai pentas dan meneruskan ceramah.