"Polis tahu kawasan Bukit Bintang adalah lokasi aktivi kumpulan haram, mereka sendiri perlu tingkat tahap risikan."

Itu tegas Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang menyifatkan polis perlu segera mengenal pasti kumpulan yang terlibat dalam insiden bom di Bukit Bintang.

Jelasnya, polis juga mungkin sedia maklum mana kumpulan yang terlibat di dalam insiden berkenaan dan perlu menguatkuasakan undang-undang sedia ada.

"Kita ada Operasi Cantas cetusan idea Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk menahan penjenayah dan anggota kongsi gelap.

"Kita harap ia diteruskan agar kes-kes jenayah kekerasan seperti bunuh dan cubaan bunuh menggunakan senjata api di negara ini dapat dikurangkan," ujarnya ketika menghubungi Astro AWANI di sini hari ini.

Dalam kejadian awal pagi tadi, seramai 14 orang cedera dalam insiden letupan bom di sebuah bangunan di kawasan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Seorang mangsa yang cedera parah kemudiannya meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) ketika dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

Terdapat empat kenderaan diletakkan di hadapan kelab malam tersebut iaitu masing-masing sebuah Toyota Alphard, Mazda, BMW dan Toyota Camry.

Tambah Musa, insiden seumpamanya dilihat akan berterusan jika tiada penguatkuasaan daripada pihak berkenaan.

"Ini perkara serius, polis kena jaga betul-betul, jika tidak ia akan sentiasa berlaku.

"Ini perbuatan kumpulan 'underground', polis harus kenal pasti semua kumpulan gengster dan tingkatkan tahap risikan pasukan," jelasnya.

Ops Cantas diadakan rentetan penghapusan undang-undang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat (OE) pada 2012, yang menyaksikan peningkatan jenayah kekerasan menggunakan senjata api.