PUTRAJAYA:Proses Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak boleh ditangguh jika darurat diisyitiharkan di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Ini kerana, jelas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Perutusan Khas hari ini, PRK Batu Sapi perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas terdapat kekosongan bagi sesuatu kerusi Parlimen menurut Fasal 1 Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, Fasal 4 Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak juga memperuntukkan PRN hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) yang boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja.

"Tetapi apa boleh buat kerana itu adalah kehendak dalam Perlembagaan Persekutuan maka kita terpaksa mengadakan pilihan raya.

"Kecuali jika darurat diisytiharkan di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan di Batu Sapi dan Sarawak, bolehlah kita tangguhkan dahulu kedua-dua pilihan raya ini sehingga COVID-19 berakhir," katanya di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Muhyiddin menyeru agar semua rakyat di Batu Sapi dan Sarawak untuk terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dengan penuh disiplin semasa pilihan raya diadakan.

"Begitu juga penduduk di negeri Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Melaka, Perak dan lain-lain negeri yang sedang mencatatkan peningkatan kes-kes positif COVID-19.

"Saya merayu kepada saudara dan saudari sekalian, jagalah diri masing-masing, ahli keluarga dan orang di sekeling kita dengan mematuhi semua SOP yang ditetapkan oleh kerajaan.

"Kasihanilah para petugas barisan hadapan kita yang terpaksa bekerja siang dan malam bersabung nyawa untuk memerangi wabak ini dan melindungi kita semua," katanya.