Kemenangan mungkin bukan sasaran utama Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

Sebaliknya, Profesor Sosiologi Politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian berpendapat PRK itu adalah medan untuk mereka melihat adakah isu dibawa mampu menarik minat pengundi.

Menurutnya, personaliti dan kredibiliti bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menerajui parti itu pastinya akan memainkan peranan penting dalam menentukan sokongan rakyat kepada Pejuang.

“Saya percaya ini bukan tempat yang mahu mereka lihat kepada kemenangan tetapi yang mahu dilihat apakah isu-isu yang dibawa itu mampu menarik minat di sebalik personaliti itu (Dr Mahathir).

“Pertembungan dia antara personaliti, parti politik, itu memang lumrah dalam pilihan raya. Saya percaya kedudukan Tun M akan memainkan peranan,” katanya dalam temubual Skype bersama Astro AWANI pada Sabtu.

Tambahnya, ketokohan dan pengalaman Dr Mahathir yang begitu lama bertapak dalam arena politik negara tidak harus dipandang rendah.

“Adalah dangkal unntuk menafikan kedudukan Tun Dr Mahathir dan saya percaya penyokong yang setia kepada personaliti itu masih ada dan penyokong yang setia kepada kumpulan yang tidak menyebelahi Bersatu yang tidak dalam PN juga masih ada.

“Ini menjadi uji kaji yang juga mungkin akan jadi satu tempat kepada pejuang apakah langkah seterusnya perlu diambil mereka selepas berakhir PRK,” ujarnya.

Begitupun, katanya, sejauh mana sokongan itu dizahirkan dapat dilihat dalam 14 hari akan datang ketika kempen sedang berlangsung.

Pada PRK kali ini, Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan anak tempatan Slim, Mohd Zaidi Aziz, 43, yang juga pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim bagi mempertahan kerusi berkenaan.

Sementara calon Bebas adalah peguam, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, yang bertanding atas tiket Bebas mewakili Pejuang dan seorang lagi calon Bebas ialah Santhara Sekaran Subramaniam, 42.

PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai lalu.