Calon parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau selesai mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Fuad Stephens, di sini, pada jam 10 pagi ini.

Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) N.15 Kiulu itu ditemani isteri, Datuk Dr Jaina Sintian.

Madius yang juga Presiden UPKO berkata, beliau berpuas hati dengan proses pengundian yang berlangsung setakat ini serta prosedur operasi standard (SOP) yang diamalkan bagi mengekang penularan COVID-19.

“Saya berpuas hati dengan prosesnya sebab semua mengikut SOP, daripada mula mengambil nombor sehingga mengundi.

“Tiada sebab mana-mana pengundi ragu-ragu untuk datang mengundi.

“Harapan saya supaya pengundi-pengundi keluar mengundi. Masih banyak masa lagi, sampai jam 5 petang,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Ikuti LAPOR LANGSUNG: Hari Penentuan di Sabah

Ikuti juga perkembangan terkini PRN Sabah ke-16 di astroawani.com

Mengulas lanjut, Madius berkata pengundi tidak perlu takut dan ragu-ragu dengan SOP yang telah dilaksanakan oleh pihak berkaitan dalam memastikan keselamatan rakyat.

“Dari segi SOP pihak berkuasa kesihatan, ia baik dan teratur. Dari segi keselamatan, tiada apa-apa masalah.

“Jangan dengar apa-apa khabar angin berkaitan dengan kesihatan. Semua terkawal,” tambah beliau.

Terdahulu, Madius tiba di Pusat Mengundi tersebut pada pukul 9.30 pagi.

Madius berdepan lima pesaing di DUN Kiulu, termasuk Datuk Joniston Bangkuai dari Parti Bersatu Sabah (PBS), Andau Yasun (calon Parti Cinta Sabah) dan Rozylyn Gelunu (Parti Liberal Demokratik).

Dua lagi ialah calon Bebas iaitu Dominic Yasun dan Jolianis Lampog.

Seramai 1,088,711 daripada 1,103,646 pengundi layak mengundi hari ini sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16.

Seramai 14,935 orang telah mengundi awal.

Hari ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyediakan 2,540 saluran yang dibuka di 741 pusat mengundi.