Polis Diraja Malaysia menetapkan bahawa proses peralihan kuasa perlu berjalan dengan lancar dan tersusun.

Selain itu, proses peralihan wajar disegerakan dan tidak boleh dilengahkan bagi elak sebarang spekulasi tidak sihat yang mampu jejas ketenteraman awam dan keselamatan, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Fuzi Harun dalam satu sidang media yang diadakan di Bukit Aman hari ini.

Beliau juga memaklumkan, proses tersebut dijalankan mengikut undang-undang berlandaskan peruntukan persekutuan.

"Dalam masa terdekat kita juga memutuskan untuk menghadap Tuanku (Yang di-Pertuan Agong) bagi menyembah maklum tentang perkara-perkara yang telah kita buat keputusan.

"Dalam perkara ini PDRM sekali lagi ingin beri jaminan kepada rakyat Malaysia keselamatan kekal terkawal dan pihak saya akan pastikan proses peralihan kuasa berjalan lancar di peringkat pusat mahu pun negeri," ujarnya lagi.

Penetapan dibuat selepas mengadakan pertemuan Bersama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor pada jam 2 petang Khamis.

Mohamad Fuzi (dua, kanan) mengadakan pertemuan bersama Ali (dua, kiri) dan Raja Mohamed Affandi (kiri) dan juga Ketua Polis KL, Datuk Mazlan Lazim. - Twitter/@DrAliHamsa
PDRM juga menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang provokasi dan spekulasi yang boleh menjejaskan keselamatan awam.

Beliau juga memberitahu, tiada insiden kekocahan besar pasca proses pengundian semalam.

"Cuma ada satu insiden berdekatan Putrajaya, dalam jam 2 hingga 3 pagi, jumlah penonton ramai, yang bawa mercun seolah-olah sambut hari raya, jumlah terus meningkat, jadi untuk mengelakkan perkara tidak diingini berlaku PDRM ambil tindakan menyuraikan dengan cara baik," katanya.

Tambahnya, PDRM sentiasa memantau keselamatan negara dan sehingga kini tiada perkara tidak diingini berlaku.