Polis menahan enam wanita warga asing yang menjalankan aktiviti pelacuran di sebuah premis yang berselindung di sebalik pusat spa di Parit Buntar, dekat sini, dalam Ops Noda, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kerian Supt Omar Bakhtiar Yaacob berkata operasi pada pukul 9.00 malam itu turut menyaksikan seorang lelaki warga Bangladesh berumur 42 tahun disyaki pelanggan dan seorang penjaga premis berusia 38 tahun ditahan, bersama dengan wanita warga Thaliland, Filipina dan Indonesia yang berumur antara 19-45 tahun itu.

Beliau berkata siasatan lanjut mendapati pusat itu tidak memiliki lesen untuk beroperasi, selain dipercayai menjalankan kegiatan menggaji warga asing bagi tujuan pelacuran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Pusat itu dikenakan kompaun, dan enam wanita warga asing itu didapati memiliki pasport, namun tidak mempunyai sebarang permit untuk bekerja," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini, hari ini.

Beliau berkata kesemua mereka kini ditahan reman selama 14 hari bermula semalam dan sedang disiasat mengikut Seksyen 372 Kanun Keseksaaan serta Seksyen 55 B Akta Imigresen 1959/1963.

Dalam perkembangan lain, Omar Bakhtiar berkata pihaknya menahan empat pengedar dadah termasuk seorang nelayan yang berusia lingkungan 30-40 tahun dan merampas sejumlah dadah jenis heroin serta methamphetamine dalam tiga serbuan di sekitar Kuala Kurau, dalam Ops Tapis, pada 24 Jun lepas.

Beliau berkata dalam serbuan pertama di kawasan Kuala Kurau pada pukul 11 pagi, pihaknya telah menahan dua lelaki dipercayai menjual dadah secara runcit dan kecil-kecilan selain merampas sejumlah dadah.

Katanya susulan tangkapan pertama, polis menahan dua lagi lelaki, termasuk nelayan berkenaan, juga di Kuala Kurau pada hari yang sama dan merampas dadah dari jenis heroin, methamphetamine serta pil Erimin 5 yang dianggarkan kesemua nilai pasaran dadah bernilai kira-kira RM10,000.

Omar Bakhtiar berkata semua lelaki itu dipercayai aktif mengedar dadah sejak sebulan lepas, dan kesemua mereka direman selama tujuh hari dari tarikh tangkapan, disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39A(1) dan Seksyen 39C, akta yang sama.

-- BERNAMA