Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mendakwa kerajaan BN terdahulu menghalang beberapa fail merah, akaun dan laporan daripada diperiksa Jabatan Perbendaharaan dan Audit Negara.

Menurut Guan Eng, maklumat itu diperoleh dalam pertemuan pertama dengan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Siti Zauyah Md Desa dan Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad serta pasukannya.

“Mereka memaklumkan status semasa kewangan negara dan pendedahan paling mengejutkan ialah Jabatan Perbendaharaan dan Audit Negara kedua-duanya tidak boleh mengakses beberapa fail merah.

“Fail merah itu membabitkan laporan 1MDB dan kerajaan BN dulu juga tidak memberitahu perkara sebenar berkenaan situasi kewangan semasa kepada Parlimen. Fail merah itu hanya boleh diakses pihak tertentu sahaja dengan menghalang auditor dan pegawai yang bertanggungjawab untuk menelitinya secara profesional dan integriti,” katanya pada sidang media di Kementerian Kewangan, hari ini.


Guan Eng mendakwa, tindakan itu jelas menggambarkan kerajaan terdahulu menyeleweng rakyat berkenaan isu panas, terutamanya 1MDB.

“Walau bagaimanapun siasatan masih dijalankan untuk membongkar data dan maklumat kewangan berkenaan.

“Saya juga telah mengarahkan kesemua akaun mesti boleh diakses Jabatan Perbendaharaan dan Audit Negara secara telus, bertanggungjawab dan berkesan.

"Mereka akan terus mengkaji fail-fail berkenaan untuk dibentangkan kepada Kerajaan Persekutuan bagi meneliti gambaran sebenar kewangan negara,” kata Guan Eng.


Beliau optimis dan yakin, cabaran ini akan dilaksanakan sebaik mungkin agar kewangan negara bakal dipulihkan dan juga mengukuhkan keyakinan rakyat dan pelabur terhadap Malaysia.

Ketika ditanya, adakah negara berdepan muflis, Guan Eng menafikan keadaan itu.

“Jika masih di bawah kerajaan lama, ya (bankrap), tapi kerajaan hari ini, tidak akan. Kita akan cuba pulihkan kesihatan kewangan negara sebaik mungkin,” ujarnya.