Anak maut tersepit, ibu kritikal

Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun menemui ajal selepas kereta yang dipandu ibunya terbabit dalam kemalangan di KM 1, Jalan Dungun-Bukit Besi, Dungun sekitar pukul dua petang tadi.

Nik Nurulirdina Nik Azmin yang tersepit kemudiannya disahkan meninggal dunia kira-kira 4.30 petang ketika menerima rawatan di Hospital Dungun.

Kereta dinaiki keluarga itu dirempuh sebuah lori lima tan yang datang dari arah bertentangan.

Rogol anak sendiri beberapa kali

Seorang lelaki di Kuching, Sarawak dijatuhi hukuman penjara 54 tahun dan 21 sebatan selepas mengaku bersalah merogol anak kandung sendiri.

Lelaki berusia 40 tahun itu melakukan sumbang mahram pada 12, 20 dan 21 November 2016.

Siasatan pihak polis sebelum ini mendapati mangsa dipaksa melayan kemahuan seks si bapa kerana terlalu takut dicederakan sekiranya enggan menuruti kehendak suspek.

Fasa pertama MRT dilancarkan, perkhidmatan percuma sebulan

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa melancarkan Fasa Pertama MRT laluan Sungai Buloh-Kajang di stesen MRT Kawasan Damansara mengumumkan tambang dan perkhidmatan bas perantara percuma selama sebulan bermula esok sehingga 16 Januari 2017.

"Sebagai hadiah kepada rakyat bagi Tahun Baharu serta memberi peluang kepada rakyat untuk mencuba kemudahan pengangkutan awam yang baharu, moden dan efisien, saya mengumumkan bahawa Rapid Rail akan memberi perkhidmatan MRT percuma selama sebulan mulai esok sehingga 16 Januari ini.

"Ia termasuklah perkhidmatan bas pengantara. Tambang hanya akan dikenakan bermula 17 Januari ini," kata Najib.

Perdana Menteri turut mengumumkan tambang dan perkhidmatan bas perantara percuma selama sebulan bermula esok sehingga 16 Januari 2017 bagi fasa pertama MRT. - Foto Astro AWANI / Shahir Omar

Penentuan hidup mati Kelantan dalam Liga M musim depan diketahui malam ini

Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) bakal mengadakan mesyuarat khasnya dijadual pukul sembilan malam ini di Kota Bharu.

Mesyuarat itu antara lain bakal menentukan kedudukan sama ada skuad The Red Warriors yang berdepan krisis kewangan akan meneruskan saingan musim 2017 atau sebaliknya.

Penaja yang juga pengasas Produk Vida Beauty, Datuk Seri Vida yang ditemui Astro Awani di Ipoh pula menyuarakan pendirian sedia meneruskan penajaan tetapi bersyarat.

Beliau mahu semua penyokong skuad Kijang memberi sokongan dengan membeli produk keluaran syarikatnya.

Pengasas Vida Beauty Sdn Bhd, Datuk Seri Hasmiza Othman

Siapa kata Malaysia bergelap Ahad ini?

Tenaga Nasional Bhd (TNB) hari ini menafikan satu posting yang viral di media sosial antara lain mendakwa bahawa seluruh negara akan bergelap pada Ahad (18 Dis) ini.

Sehubungan itu, Pengurus Besar Kanan Hal Ehwal Korporat dan Komunikasi TNB Datuk Mohd Aminuddin Amin menasihati orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat palsu berkenaan di media sosial.